Tuesday, March 15, 2011

Satu Malam Bersama Abang Michael Buble (Revisited and revamped)



Alrighty! Sekarang nak kongsi secara terperinci (kot) peristiwa yang berlaku! Girang girang!

Khamis, 10 Mac 2011- Penerbangan pulang. Hati melompat riang. Michael Bublé nak pulang ke gagang.

Jumaat, 11 Mac 2011- Pelan awal nak berlari di waktu pagi bagaikan zombie tidak menjadi. Perlu melawat Putrajaya untuk urusan kerja dan menggembirakan hati boss sendiri dan juga kompani.

Malam hari, bertemu rakan lama, melantak pizza sambil membuka cerita-cerita nostalgia. Juru-juru tera dan terbang bertepuk bertampar meraikan persahabatan kami.

Sabtu, 12 Mac 2011 - akhirnya! Pagi-pagi berlari bagai tidak berkesudahan energi ini. Rindu sungguh pada Tasik Permaisuri! Rugi pada mereka yang tidak reti menghargai indahnya pagi permulaan hari.

Balik terus ke bilik mandi, bersiap untuk mengambil dokumentasi-dokumentasi (tiket le)bagi menyaksi konsert abang Michael Bublé yang dirindui.

Tengahari, melawat makcik yang disayangi, sambil mengambil kek yang sudah ditempahi bagi meraikan hari jadi beliau yang sudah seminggu berlari (haha nak bagi beritma di sini).

Pavlova ditusuki dengan pisau yang tajam sekali, bersama saudara-saudari dinikmati! Sebelum itu penulis ini melayan nafsu dijamu dengan kek aiskrim Baskin Robbins, jangan risau sentiasa ada ruang di perut ini bagi makanan yang indah dan berseri-seri. "Hari ini hari menggemukkan diri!" umum penulis pada yang disayangi sambil meratah ayam dimasak kari juga ikan temenung masak bercuka berkunyit bercili.


Wajah pavlova sebelum dikebumikan di dalam perut-perut manusia lahap. :D . Buah yang tercicir di tepi di sebabkan teknik pemanduan yang kurang hasam tambah garam.

Ahad, 13 Mac 2011 - Hari ini hari yang dinanti. Bangun pagi berlari lagi, bersemangat berkali-kali. Tidak reti mahu berenti hinggalah tapak kaki meraung-raung minta tengoklah sini!

Peha, betis, menggigil-gigil..."Giiiigilll...menggigil aku..."ecewah. Ahh peduli! Tiket konsert ditatap berulang kali, tersenyum-senyum sendiri, terlupa diri ini juga lelaki. >_>




Tiket Konsert. Envelop untuk tiket konsert.

5 ptg - penulis memandu ke arah Shah Alam bersama Ibu dan juga adik yang dimanjai. Memecut bagai orang gila yang lari dari Hospital Bahagia. "Wa, slow sikit" kata ibunda melihat meter mencecah kelajuan yang bikin goncang jiwa dan raga.

5.40 ptg - Tiba jua akhirnya, girang sungguh melihat posta idola. (Kesilapan disengajakan). Tapi sayang pintu dewan hanya dibuka pabila 7.30 ptg dijangkau pada jam penjaga. Penulis lalu duduk membuang masa, menikmati muzik dari penghibur amatur yang dijemput oleh pihak pengelola. Ohh lupa juga wajah-wajah manusia yang turut sama mendamba. Ramai betul manusia jelita. Apa ada apa rupa jika hati tidak sama ronanya.

7.00 ptg - pintu dewan dibuka awal. "Masuklah", kata manusia berbadan gempal. Sekali lagi hati ini terasa seperti anak gadis yang menerima surat cinta penuh puitis.

Mencari Michael Buble.

7.30 ptg - Sementara menunggu persembahan Najwa, diri merayau mencari surau. Oh ada. Terserempak pula dengan Timbalan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Muhyidin Yassin namanya.

Tiba-tiba, Sarimah tampil terkocoh-kocoh. Suara lantang penuh kepoh. Patutla, dia rupanya juruacara. Cantik, manis dan lucu orangnya.



Najwa dan rakan-rakan. Memang berkelas dunia.


8.30 ptg - Genderang berbunyi mendebarkan hati! Michael Buble bakal menghiburkan kami! Pemuda ini terjerit kecil bagai budak-budak munggil lalu terus terkesima apabila melihat rancaknya warna dan juga irama melihat persembahan yang bakal diukir di sudut mindanya. Ahhh sungguh indahnya...

Lagu intronya? Tangisi aku sebatang sungai. Cry me a river.





Nota: Ini bukan video yang dirakam oleh penulis. Penulis terlalu sibuk (malas) untuk meng-hupload video sendiri. Besar weh! HD! HD!



The man.





"Ha! Anwar! I see you!" Ok. Adik saya dapat bersalam dengan dia time dia turun dari pentas.

Malam berlalu dengan pantas. Michael Buble memang penghibur yang tuntas. Setiap golongan, lapisan rasanya telah terjatuh cintan. Lelaki-lelaki perlu belajar darinya bagaimana mahu menjadi lelaki budiman. Berketerampilan tampan, menghormati perempuan. Oh perhatian! Dia sudah dimiliki orang. Pria manis lagi periang.

10.30 mlm - Persembahan berakhir, diakhiri dengan lagu A Song For You. Penceritaan mengenai isi jiwa pemuda yang berkelana ke seluruh dunia, tapi hatinya masih lagi tetap setia dan kekal terpana dengan gadis yang menawan hidupnya.

Penulis melangkah keluar dari dewan, merasa puas dan tidak puas. Puas kerna berjaya memenuhi hasrat yang sekian lama dipendami, tidak puas kerna masih banyak lagu yang penulis mahu didengari. Terima kasih Michael Bublé, sekurang-kurangnya kami turut sama belajar menikmati irama lama yang melagukan segala rasa terus terhilang gundah gulana, yang tinggal hanya bahagia.

Bukan Michael Bublé.





Nota: Juga bukan video yang dirakam oleh penulis. Sekali lagi, penulis terlalu 'sibuk'. Tapi beginilah pengakhirannya.

No comments:

Post a Comment