Monday, February 14, 2011

Saya ko oghang Ghawo.

Rasanya tak semua faham maksud perkataan-perkataan dekat dalam tajuk tu. Bahasa ni perkara yang kita guna setiap hari tapi sebenarnya agak misteri. Cewah. Serius, contohnya, macam mana kita boleh putuskan yang maksud sesuatu perkataan tu bermaksud apa yang kita mahu perkataan tu maksudkan? Saya pun pening taip ayat tadi. Takpe, saya bagi contoh. Macam mana kita boleh putuskan yang binatang yang berbalung, berparuh, tak boleh terbang tinggi, berkaki dua, berbulu pelepah, tu dipanggil ayam? Apasal tak panggil....mmmm kucing? Kenapa kucing tu dipanggil kucing? Ok, nak mempersoalkan hal ni, sampai kucing bertanduk pun tak habis.

Berbalik kepada subjek, bukan ayam bulu bolak-balik tau (wujud binatang ni!), saya orang Perak. Tapi saya bukan orang Perak yang cakap teman, mike (bukan Mike, tapi macam Mika penyanyi tu), saya orang Rawa. Bukan Jowo. Tapi Ghawo (Rawo). Saya ni orang Rawa.

Saya dah tak pandai sangat dah cakap Rawa. Sebab dah lama tinggal. Asyek dudok Kay Ell jerr, tu yang hilang abes tew.Masa kecik-kecik dulu, saya tinggal dekat area kampung, yang ramai cakap Rawa dan ramai jugak lah yang cakap Perak piyor. Cakap Perak macam dalam cerita HKLBR tu lah. Tapi takde la pulak seingat saya sesiapa yang bercakap sambil pusing-pusingkan tangan dia atau sampai senget-senget dagu (kehkehkeh).

Ramai dah tahu macam mana bunyi nya Perak piyor ni. Tapi tak berapa ramai yang tahu pasal etnik Rawa dan loghatnya.

Yang buat saya terdetik nak buat entri pasal ni sebab perbualan saya bersama sepupu perempuan saya di dinding facebook saya. Seronok. Dia sekarang bekerja di US dan A. Seorang yang sangat merendah diri. Tak segan-segan nak bertutur dalam loghat ni. Saya pulak tengah beria pos status mesej dalam bahasa orang putih. Saya petik sikit:

Hehe...itulah..ni gulei lomak masih maken ko indo do?ikan roboih udah lupo kuak? Duduk di kolumpuo udah lupo semuonyo iko yo..hehe...

Maksudnya: Lol...Ni gulai lemak makan lagi ke tak? Ikan rebus dah lupa agaknya? Duduk di KL, dah lupa semuanya ni ya...lol...

Bunyi dia memang macam bunyi loghat nogori sikit. Ejaan dalam ayat di atas bukan salah, tapi begitulah bunyinya. Nak cakap pun macam berlagu-lagu.Taburan etnik Rawa ni boleh ditemui di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Dan juga di KL... >__>

Dari mana asal-usul orang Rawa ni? Dari Sumatera barat. Kalau nak baca fakta lebih lanjut sila ke sini. Link ni selamat. Laman rencana Berita Harian berkenaan etnik Rawa.

Sebagaimana yang kita sedia maklum (tudia ayat macam Majalah 3), loghat ni sebenarnya identiti unik setiap etnik. Saya yang pernah melalui zaman tak matang, zaman fikiran budak-budak pernah beranggapan yang loghat ni macam tiadalah kelessss (nak sebut ni kena guna suara dasar/bass). Pemikiran budak-budak (penekanan di sini). Saya malu nak guna kalau ketemu saudara dari bandar sedangkan diorang begitu beria-ia menyebut setiap patah perkataan dalam loghat Rawa. Saya tak nampak keunikan tersebut. Kena pulak bunyinya jauh lari dari sebutan Bahasa Melayu standard.

Syukurlah, masa berlalu, saya belajar yang inilah asal saya (tiba-tiba teringat iklan Astro, "Aku tahu asal-usul mu!") . Bahasa inilah yang digunakan oleh datuk, nenek, opah, moyang, saya untuk membentuk tamadun yang sedikit sebanyak menyumbang kepada siapa saya hari ini.
Malah, saya ingat lagi ketika emak (saya panggil mama sebenarnya) memujuk saya dalam loghat Rawa, rasa sejuk sangat hati ni. Contoh:

"Jangenla kao meghajuk-ghajuk, indo elok. Kao ko janten".
Janganlah kamu merajuk, tak elok. Kamu ni lelaki.

Hai, kalau lah saya boleh masukkan suara dalam ayat ni, dapat lah jugak kongsi betapa lembutnya suara emak saya memujuk dalam loghat tersebut. Saya pun dah ingat-ingat lupa perkataan-perkataan spesifik yang diucapkan. Dia cakap ni masa kaki kanan saya kena timpa dahan pokok rambutan yang saya potong. Bengkak terus! Dia urut sambil terkumat-kamit entahle apa dibaca nya.

Kepelbagaian etnik, latar belakang ni, sebahagian dari rencah yang 'menyedapkan' lagi hidup yang sememangnya sangat sangat menarik. Tapi tak dapat tidak, ada di antara kita yang terlalu mudah melabelkan sesuatu etnik dengan sesuatu nilai buruk yang umum hanya disebabkan perilaku satu dua pihak yang tidak bertanggungjawab dan kurang didikan.

Saya pernah utarakan yang kita tak dapat pilih sebagai siapa kita mahu dilahirkan. Kita mempunyai pilihan untuk menggunakan apa yang kita ada untuk menambahbaikkan diri kita yang dilahirkan insyaAllah baik. Begitulah juga dalam soal etnik. Yang negatif kita jauhkan, yang baik kita amalkan.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul!
Kongsi-kongsi: Mengikut pendapat ulama, sambutan hari lahir Rasul ni bidaah yang baik. Maksudnya tak salah cuma tak pernah diamalkan masa zaman Nabi dulu. Sekali kita selawat untuk dia, sepuluh kali para malaikat selawat untuk kita, insyaAllah. Wallahualam.




No comments:

Post a Comment